Setia Band memberikan persembahan yang cukup mantap di samping penyanyi
Firman dalam satu konsert yang diadakan di KL Live Center, Kuala Lumpur,
pada Sabtu.
Dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh penyanyi
wanita kelahiran program realiti Akademi Fantasia 8, Adira, gadis putih
melepak dalam persalinan merah ini memukau penonton dengan lagu 'hit'
terbarunya, "Dewi Cinta". Seterusnya, dia mengatur rentak dengan
menyampaikan lagu duet popularnya bersama Hafiz Suip, "Ombak Rindu"
secara solo.
Adira kemudiannya mempelawa Firman ke atas pentas
untuk sama-sama menyanyikan lagu hit Firman, "Jangan Pikirin Abang".
Gabungan Firman dan Adira membuatkan pentas gamat seketika dengan hilai
tawa dan sorakan penonton.
Seterusnya, Firman mengambil posisi
untuk meneruskan acara pada malam itu. Memiliki paduan vokal garau dan
serak basah, Firman menghangatkan pentas dengan 'single' terbarunya,
"Hati Batu" selain menyampaikan lagu-lagu 'cover' seperti "I Want To
Break Free" dan "It's My Life". Ternyata aura yang dimiliki membuatkan
penonton yang hadir pada malam itu tidak jemu.
Pentas diambil
alih pula oleh kumpulan Setia Band. Bagi yang belum tahu, Setia Band
merupakan kumpulan muzik yang dianggotai oleh Charly, mantan vokalis
kumpulan ST 12. Pada malam itu, Setia Band bukan sahaja menyanyikan
karya-karya terbaru mereka tetapi juga lagu-lagu dari album ST 12.
Rata-rata penonton menantikan kedatangan Charly bersama Setia Band.
Memulakan
ritma di pentas dengan mempersembahkan lagu "Terlalu Indah", ternyata
Setia Band pandai menghiburkan barisan penonton dengan rangkaian lagu
'hit' mereka. Selepas itu, Setia Band terus membuai rasa melalui lagu
"Jangan Pernah Berubah" yang pernah popular di Malaysia satu ketika
dahulu.
Setia Band turut menyampaikan lagu-lagu wajib mereka
seperti "Puspa", "Cari Pacar Lagi", "Asmara", "Saat Terakhir" serta
banyak lagi seleksi lagu popular dan mantap. Charly dilihat sungguh
pandai berinteraksi dengan peminat-peminat yang hadir malah sempat
menyanyikan beberapa bait lagu "Rindu Serindu Rindunya", nyanyian asal
kumpulan Spoon. Setia Band juga menyampaikan lagu popular kumpulan
Search, "Isabella" dalam cara mereka tersendiri.
Setia Band dan
Firman sempat berpadu tenaga untuk sama-sama menyampaikan lagu
"Kehilangan" yang membuatkan penonton-penonton terikut menyanyi. Konsert
yang dihadiri lebih 1,000 orang ini diacarakan oleh penyampai radio Hot
FM, Kieran. Turut hadir pada malam tersebut adalah Menteri Komunikasi
dan Multimedia, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar